Khamis, 13 Oktober 2011

Wasiat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.

Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas ni'mat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Moga ada manfaat

Adap Seorang Muslim

Tafsir Surah An-Nisa' ayat 86 - Adab seorang Muslim

Allah mengajar orang-orang yang beriman dengan suatu adab yang baik iaitulah adab pergaulan sesama mereka dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa': 86)

Pendapat yang lebih kuat - yang dimaksudkan dengan hormat di sini ialah memberi salam walaupun ada ulama yang menjelaskan bahawa termasuk dalam ayat ini Tasymitul 'Atisy (berzikir ketika seseorang bersin) dan membalas orang yang 'Musyamit'. Ertinya apabila seseorang itu bersin, dia berkata 'al-hamdulillah' dan yang berada di sisinya menjawab 'Yarhamukallah'. Ini adalah diantara perkara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. tetapi yang lebih kuat dimaksudkan ayat ini ialah memberi salam.

Menjadi ijma' di kalangan para ulama bahawa memulakan salam itu disunatkan dan sangat digalakkan manakala menjawab salam diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberi hormat dengan suatu penghormatan (salam) maka kamu hendaklah menghormatinya (menjawab salam itu)." (Surah an-Nisa': 86)

Ulama' berkhilaf dalam masalah sama ada menjawab salam itu wajib kifayah atau fadhu ain. Di sisi Imam Malik dan Imam Syafie, menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah (wajib secara umum). Sekiranya ada orang yang menjawab salam di kalangan kumpulan yang ramai maka lepaslah tanggungjawab yang lain (yang tidak menjawab salam di kalangan mereka).